Suatu perkara yang sentiasa menjadi igauan pengguna linux adalah kekurangan permainan video untuk platform linux. LG-Live adalah salah satu penyelesai kepada masalah ini. LG-Live atau pun Linux Gamer Live merupakan DVD Live dengan beberapa permainan menarik yang telah dipasang kedalamnya. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu membuatnya sama seperti CD atau DVD Live yang lain, iaitu boot komputer anda daripada DVD dan anda telah boleh mula menggunakannya dan bermain permainan yang anda sukakan.

LG-Live ini menggunakan ArchLinux sebagai platform utamanya dan datang dengan 13 permainan yang telah siap sedia untuk dimainkan. Spesifikasi minimum hardware untuk menyokong permainan didalamnya adalah menggunakan sekurang-kurangnya AMD 1800+, mempunyai RAM sebanyak 512MB, dan menggunakan kad grafik sekurang-kurangnya ATI Radeon 8500 (NVIDIA GeForce3). Walaupun ini merupakan spesifikasi minimum, mungkin sistem yang menggunakan hardware lebih lama masih boleh memainkannya. Cuma keseronokkan bermain itu mungkin berbeza dan kurang memuaskan. Driver sumber terbuka dengan keupayaan 3d acceleration untuk pelbagai kad grafik lain juga turut disediakan dalam Live-DVD ini.
Oleh kerana ianya merupakan Live-DVD, maka anda boleh menyimpan data anda seperti saved games dan sebagainya di dalam storan mudah alih seperti pada thumbdrive dan sebagainya. Selain daripada itu, anda tidak perlu bimbang berkenaan sebarang konfigurasi kerana semuanya akan dilakukan secara automatik dan anda tidak perlu bimbang berkenaan data-data pada komputer anda kerana ianya tidak akan diganggu langsung oleh LG-Live.
Senarai permainan penuh boleh didapati pada laman rasmi mereka. Sama seperti Ubuntu, mereka juga menyediakan servis ShipIT khas untuk para pengguna linux dengan capaian internet rendah. Anda boleh memuat-turun versi 0.9.4 sekarang melalui laman rasmi mereka secara percuma atau menyertai forum mereka untuk pertanyaan lebih lanjut berkenaan dengannya.


Tiada Komen