Mungkin agak sudah terlambat untuk menulis mengenai KDE 4.2 yang dilepaskan pada 27 Januari yang lalu. Komuniti KDE memberikan nama kod “The Answer” ataupun Jawapan bagi KDE versi 4.2 ini. Sejak KDE 4.0 diperkenalkan tahun lepas, pelbagai perubahan telah dilakukan, dan kini KDE telah mula digunakan oleh ramai orang dari seluruh dunia. Berbeza dengan antaramuka GNOME yang lebih mirip kepada Mac OS X, KDE pula lebih mirip kepada sistem operasi daripada Windows, dengan taskbar-nya dibahagian bawah. Malah, melalui bancian yang dilakukan baru-baru ini, ramai yang salah anggap KDE 4.2 sebagai Windows 7. Begitulah kehebatan KDE yang mana kini sudah sama taraf dengan Windows, malah ianya lebih stabil sekiranya dibandingkan dengan sistem operasi yang lain.

Paparan Antaramuka Desktop KDE 4.2 [via]
Melalui KDE 4.2, pelbagai perkara telah dinaik-taraf. Notifikasi aplikasi dan sistem baru diperkenalkan, disamping pengurusan tetingkap yang lebih efisyen dan senang. Plasma digunakan untuk memperkenalkan desktop yang mempunyai ciri-ciri pengurusan fail. Selain itu, KDE 4.2 juga memperkenalkan fungsi membina dan mengekstrak arkib yang pintar dan menarik. KDE 4.2 juga didatangkan dalam lebih 50 bahasa yang berlainan, sekaligus memudahkan penggunaan bagi mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris.
Anda boleh membaca dengan lebih lanjut berkenaan dengan versi baru KDE 4.2 ini di halaman rasmi mereka, ataupun mencubanya menerusi live CD tanpa perlu menganggu sistem komputer anda. Sekiranya anda menggunakan Ubuntu atau Kubuntu, anda sudah boleh mengemaskininya melalui Software Repository anda.




Tiada Komen