Ubuntu Tweak 0.4.5 Di Lepaskan

Sebelum ini LinuxMalaya ada menulis mengenai aplikasi Ubuntu Tweak, yang mana membolehkan anda memperkemas dan menambah-baik serba sedikit pemasangan Ubuntu anda, sama seperti beberapa aplikasi tweak yang terdapat untuk sistem operasi Windows. Semalam, versi terkininya telah pun dilepaskan, iaitu Ubuntu Tweak 0.4.5.

Ubuntu Tweak 0.4.5
Kebolehan Untuk Membuang Fail Konfigurasi Lama [via]

Versi terkini ini memperkenalkan beberapa perkara baru, dan salah satunya adalah kebolehan untuk membersihkan fail konfigurasi lama dengan mudah. Sekiranya anda gemar untuk mencuba aplikasi dan perisian baru pada pemasangan Ubuntu anda, mungkin terdapat banyak fail konfigurasi lama. Sekiranya anda membuang sesuatu aplikasi, apt-get tidak membuang fail konfigurasi anda, selain anda menyatakan pilihan -purge. Kini dengan Ubuntu Tweak terbaru, anda boleh membuangnya dengan mudah.

Selain itu versi ini juga memperkenalkan fungsi Preferences untuk Ubuntu Tweak. Kini anda boleh menyatakan beberapa pilihan seperti saiz tetingkap, dan kebenaran untuk mengemaskini aplikasi Ubuntu Tweak secara dalam talian. Selain itu, anda juga boleh memilih samaada ingin memperlihatkan notifikasi sumbangan untuk Ubuntu Tweak ataupun tidak. Oleh kerana ianya merupakan projek sumber terbuka, sumbangan anda mungkin serba-sedikit dapat membantu para pembangun Ubuntu Tweak untuk lebih bersemangat membangunkan aplikasi yang berguna untuk Ubuntu Tweak.

Beberapa perkara baru yang lain turut diperkenalkan dalam Ubuntu Tweak 0.4.5 ini. Anda boleh mencubanya dengan memuat-turun aplikasi Ubuntu Tweak tanpa sebarang kos. Selain daripada itu, anda juga boleh melihat kod sumber untuk aplikasi Ubuntu Tweak ini. Menariknya, Ubuntu Tweak sudah mula menyokong Ubuntu 9.04 yang bakal dikeluarkan pada bulan April ini.

Tiada Komen

Tinggalkan Komen