Lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai Persidangan Sumber Terbuka MSC Malaysia 2009 (OSCONF) selama empat hari mulai 31 Mei hingga 3 Jun ini di Pusat Konvensyen dan Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Persidangan yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MdeC) itu mendapat kerjasama dari Unit Perancang Pemodenan Pentadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta disokong oleh komuniti Sumber Terbuka Malaysia.
Naib Presiden MDeC, Saifol Shamlan, berkata dengan tema ‘Open to Change’, Osconf diadakan sebagai tambahan kepada persidangan tahunan perisian sumber terbuka Kerajaan Malaysia (MyGosscon) sebagai platform kepada apa juga yang berkaitan dengan sumber terbuka di Malaysia.
“OSCONF disasarkan kepada eksekutif perniagaan, pembangun dan komuniti sumber terbuka di Malaysia, sementara MyGossCon yang dianjurkan MAMPU disasarkan kepada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti perniagaan serta penggiat penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
“Kami akan membawa pakar dalam sistem sumber terbuka dari seluruh dunia untuk menyampaikan ceramah di samping sama-sama meneroka laluan bagaimana sumber terbuka boleh meringankan beban akibat krisis ekonomi global,” katanya.
Menurut Saifol, turut dijemput untuk memberi ceramah ialah wakil kerajaan negara luar yang sudah menggunakan sistem sumber terbuka di dalam aplikasi pentadbiran serta pengurusan kerajaan masing-masing.
“Ia sejajar dengan hala tuju kerajaan untuk menggunakan sumber terbuka di kesemua agensinya sama ada untuk aplikasi perisian atau platform yang menjadi tulang belakangnya,” kata timbalan pengarah, bahagian dasar dan perancangan ICT, MAMPU, Tan King Ing sambil menambah 462 agensi sudah mengamalkannya seperti OpenOffice.
OSCONF 2009 merangkumi tiga trek berasingan iaitu perniagaan, pembangun dan komuniti dengan penceramah terkenal termasuk dari Mozilla, Google Inc, Microsoft Corp, Red Hat, Ubuntu, BSD, Fedora dan PHP.
Di Petik Daripada Harian Metro




Tiada Komen