Android Bakal Memperkenalkan Eclair dan Flan Selepas Donut

Sekiranya anda perasan, Ubuntu memberikan nama mengikut abjad dan penggunaan nama haiwan dalam setiap versi baru yang dilepaskan oleh mereka. Sama seperti mereka, Google juga berbuat demikian pada sistem operasi mudah alih mereka, Android. Google mengguna pakai nama-nama makanan pada setiap versi terbaru Android.

Baru-baru ini, mereka baru sahaja melepaskan Android CupCake, dan sudah pun mula membangunkan versi seterusnya yang bakal dikenali sebagai Android Donut. Walaupun ianya masih baru, Google sudah merancang masa depan sistem operasi mudah alih mereka yang kain mendapat perhatian ramai ini. Selepas Donut, dua lagi versi seterusnya bakal menggunakan nama Eclair dan Flan.

Namun begitu, buat masa ini, hanya nama sahaja yang diumumkan, dan ciri-ciri baru yang bakal diperkenalkan pada versi-versi seterusnya masih lagi belum diumumkan oleh mereka. Sekiranya anda berada di Malaysia, dan ingin mencuba telefon bimbit yang menggunakan Android, anda boleh mendapatkan HTC Magic daripada Celcom dengan pakej yang amat menarik sekali.

Android juga sedang dibangunkan supaya boleh digunakan pada netbook, selain baru-baru ini Google mengumumkan bakal memperkenalkan Chrome OS yang bakal dibangunkan oleh syarikat gergasi itu khas untuk pengguna netbook. Adakah tahun 2010 kelak, Google akan menguasai pasaran sistem operasi netbook dunia? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

1 Komen

  1. [...] kedengaran yang mana, versi Android seterusnya akan dikenali sebagai Froyo dan bukannya sebagai Flan yang diperkatakan sebelum [...]

Tinggalkan Komen