Ubuntu 12.10 Bakal Membawakan Kemaskini Pada Menu Sistem
Dengan Ubuntu 12.04 yang bakal dilancarkan pada penghujung bulan ini, iaitu pada 26 April 2012, kini pihak Canonical telah pun mengeluarkan perancangan untuk sistem operasi generasi akan datang mereka, iaitu Ubuntu 12.10. Sebagai permulaan, pembangun Ubuntu telah pun menerbitkan beberapa perancangan berkaitan dengan menu sistem untuk Ubuntu 12.10 yang akan dikemaskini dan diberikan nafas baru.
Antara menu-menu yang bakal menerima kemaskini termasuklah menu System, Clock, Network, Bluetooth dan juga Messages, selain menu baru Sync. Melalui kesemua itu, menu Messages akan menerima antara kemaskini paling banyak, mengintegrasikan Chat, dan Mail. Menu Sync pula memberikan kemudahan untuk para pengguna menguruskan fail-fail di Ubuntu One, Dropbox dan sebagainya.
Pada masa yang sama, apa yang dapat dilihat daripada gambaran awal yang dikeluarkan adalah termasuk sokongan integrasi beberapa perkara seperti fungsi melihat panggilan (Missed Calls, Voicemail) selain sokongan seperti tetapan ketika penerbangan (Flight Mode) dan beberapa perkara lagi. Ia adalah sokongan apabila para pengguna menggunakan Ubuntu untuk Android.
Bagi mendapatkan idea yang lebih lanjut berkenaan dengan rekabentuk menu pada Ubuntu 12.10 kelak, mungkin anda boleh membaca penulisan penuh pihak pasukan rekabentuk Ubuntu pada halaman rasmi mereka.