Nampaknya, sepanjang tahun ini, komuniti sumber tempatan akan terus meriah dengan pelbagai perkara baru. Selepas Oshirix, simpleLinux, FiMOS dan lain-lain, kini yang terbaru dalam pembangunan adalah Yuze, yang mana bakal dilancarkan tidak lama lagi. Buat masa ini, mereka masih lagi dalam proses mempelajari dan juga membangunkan sistem operasi tersebut, dan tarikh pasti pelancarannya masih lagi tidak diketahui.
Setelah beberapa versi pembangunan, kini Linux Mint 11 versi akhir telah pun dilepaskan kepada umum, dan sudah boleh dimuat-turun oleh semua pengguna secara percuma. Sama seperti versi-versi sebelum ini, Linux Mint 11 “Katya” ini dibangunkan berasaskan sistem operasi popular Ubuntu 11.04 Natty Narwhal yang dilepaskan sebelum ini.
Miro, salah satu pemain media yang popular kini telah pun mencapai versi 4.0, yang mana melalui versi baru ini, ianya menambah sokongan untuk menghantar dan menerima fail media daripada Miro pada desktop kepada beberapa peranti mudah-alih yang lain seperti Android lebih mudah. Secara ringkasnya, ianya membawakan kebolehan sync dengan lebih pantas dan juga mudah.
Dengan latar masa pembangunan yang serba baru dan lebih pantas, kini Mozilla telah pun mengeluarkan beta pertama untuk pelayar web generasi akan datang mereka, iaitu Firefox 5 Beta untuk desktop, dan juga Firefox Mobile 5 Beta untuk pengguna Android. Dengan pelancaran versi beta ini, ianya masih lagi mengikut perancangan pembangunan Mozilla, dan mungkin kita akan dapat melihat Firefox 5 pada bulan hadapan kelak, dan seterusnya Firefox 6 dalam masa enam minggu atau kurang selepas itu.
Dari hari ke hari, semakin ramai yang mengenali Ubuntu, dan kini Mark Shuttleworth mengumumkan di Ubuntu Developer Summit yang mana Canonical mensasarkan untuk mencapai lebih daripada 200 juta orang pengguna Ubuntu menjelang tahun 2015 kelak, sekaligus memberikan masa lebih kurang 4 tahun untuk mencapai angka tersebut.





